Saturday, March 2, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Kerajaan sediakan peruntukan besar pastikan rakyat sabah dapat pendidikansempurna

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan bajet yang besar bagi memastikan rakyat Sabah mendapat pendidikan yang sempurna, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, antara peruntukan itu ialah sebanyak RM12 juta untuk membantu 1,600 sekolah di Sabah melalui program Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH).

Beliau berkata, sebanyak RM4 juta diperuntukan bagi Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) yang diperkenalkan tahun ini untuk membantu membaiki kerosakan dan menyelenggara yang melibatkan kos dibawah RM50,000 serta ke bawah.

Menurutnya, bagi memperkasa Pendidikan STEM di negeri Sabah, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM250,000.00 bagi Program STEM FIESTA dan pembinaan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (Pusat STI) di Perpustakaan Keningau dengan kos sebanyak RM3.0 juta dan dijangka siap pada penghujung 2023.

“Di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Kerajaan juga merancang melaksanakan projek berimpak tinggi iaitu pembinaan Pusat Sains Sabah di Kota Kinabalu. Manakala pembinaan Pusat STI di Tawau dan Sandakan bernilai lebih daripada RM10.2 juta daripada PETRONAS”, katanya pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Tahun 2023 Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di
Grand Ballroom Magellan Sutera Hotel pada Khamis.

Hajiji berkata, Kerajaan melalui KSTI juga memberikan dana sebanyak RM 320,000.00 untuk pewujudan 16 buah sudut sains di sekolah rendah, termasuklah memberi sumbangan bagi membaikpulih 14 Makmal Sains sekolah Menengah pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM280,000.00.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga meneruskan pelaksanaan beberapa program bantuan pendidikan pada tahun ini seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan PIBG (BAGUS), Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) yang terbukti memberi banyak faedah khususnya dalam mengurangkan beban kewangan golongan
miskin dan B40.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastruktur pendidikan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Ini kerana dengan pendidikan yang terbaik, kita berupaya untuk mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah. Ia juga sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan”, tambahnya.

Dalam konteks itu, katanya Kerajaan Negeri akan terus berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tugas, peranan, dan tanggungjawab dalam memberikan pendidikan kepada rakyat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Hajiji turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua 48 penerima Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS), sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada warga pendidik di atas perkhidmatan yang cemerlang dan komitmen yang tinggi, sumbangan dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik khasnya pendidikan di negeri Sabah.

Katanya, komitmen dan usaha murni para penerima anugerah dalam menyampaikan amanah dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan wajar dikagumi dan dijadikan teladan kepada semua.

“Harapan saya agar seluruh warga pendidik terus melakar kejayaan dan menunjukkan budaya kerja yang berprestasi tinggi, terus beristiqamah dan bersemangat dalam melaksanakan tugasan seharian untuk melahirkan insan yang terdidik dan mampu bersaing di persada global”.

“Ini penting diberi penekanan kerana dunia hari ini menuntut modal insan yang berjiwa kental dalam menyusuri dunia tanpa sempadan. Justeru, kita mahu melahirkan modal insan yang dapat memainkan peranan sebagai warganegara yang cemerlang dan bersama-sama kerajaan untuk membina negara bangsa yang merupakan harapan kita semua”, tegasnya.

Popular Articles