Saturday, March 2, 2024

Top 5 This Week

Related Posts

Dewan Rakyat luluskan Rang Undang-Undang SKM (Pindaan) 2023

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) (Pindaan) 2023, yang antara lain memperuntukkan pengasingan tugas antara Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SKM.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata cadangan rang undang-undang itu, antara lain, melibatkan
pindaan Am bagi menggantikan perkataan “Pengerusi Eksekutif” dan “Timbalan Pengerusi Eksekutif” dengan perkataan “Pengerusi” dan “Ketua Pegawai Eksekutif”.
 
Menurutnya di bawah struktur baharu itu, jawatan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif akan dipegang dan dilaksanakan oleh dua individu yang berbeza.

Ewon berkata, SKM pula akan diterajui oleh Pengerusi yang bertanggungjawab dalam menetapkan dasar dan hala tuju SKM.

Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif yang berstatus sebagai pekerja SKM pula bertanggungjawab bagi pentadbiran, pengurusan fungsi dan hal ehwal harian SKM.

Di samping pembahagian kuasa antara Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ewon menjelaskan bahawa, komposisi Lembaga Pengarah SKM juga ditambah baik.

“Ini termasuk pelantikan seorang Pengerusi yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Menteri.

“Lembaga itu, antara lain, turut dianggotai Ketua Setiausaha, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Gabenor Bank Negara Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif dan enam orang yang dilantik oleh Menteri,” katanya.

Beliau yakin, pindaan Rang Undang-Undang ini yang menumpukan kepada pembahagian kuasa di antara Pengerusi dan Ketua Pengerusi Eksekutif dapat memperkukuhkan lagi tadbir urus SKM dalam memperkasa dan menggalakkan pembangunan gerakan koperasi untuk meningkatkan sosio ekonomi rakyat Malaysia.

Popular Articles