Sign in / Join
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima cenderamata daripada Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr.Jeffrey G.Datuk Kitingan pada Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang pada Selasa.

Pendekatan Menyeluruh & Bersepadu Bangunkan Sabah: Hajiji

PENAMPANG: Kerajaan Negeri akan terus menggunakan pendekatan menyeluruh dan bersepadu dalam usaha merancang dan melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Sehubungan itu katanya, sokongan padu yang berterusan daripada rakyat kepada Kerajaan negeri, penting bagi memastikan setiap pelaksanaan program pembangunan yang dirancang melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Sebagai Ketua Menteri, bersama Jemaah Kabinet Negeri dan pentadbiran kerajaan, saya berikrar dengan penuh komitmen untuk membawa Sabah mara ke hadapan menuju pembangunan yang holistik sesuai dengan tekad dan wawasan yang terkandung di dalam dasar Hala Tuju SMJ".

"Alhamdulillah, dengan mandat serta sokongan padu rakyat kepada Kerajaan Negeri, kita kini berada di landasan yang tepat untuk meneruskan pentadbiran dalam memulihkan ekonomi dan memajukan negeri", katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Hongkod Koisaan KDCA pada Selasa.

Hajiji berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan dalam menganjurkan perayaan seperti Pesta Kaamatan membuktikan kerajaan komited dalam menjayakan setiap usaha yang menjurus kepada pemantapan seni dan budaya di negeri ini.

Beliau berharap perayaan itu akan terus memberikan impak dalam usaha kerajaan mengeratkan hubungan silaturahim dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan.

"Ini sekali gus mampu mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dan agama di negeri ini", tegasnya.

Menurutnya, kehadiran pelbagai lapisan rakyat, termasuk para pelancong jelas membuktikan menerusi Pesta Kaamatan, semangat persaudaraan, persahabatan, kekitaan dan perpaduan bukan sahaja dapat terus disemai, malah dapat digilap dan diperkukuh demi keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyat.

"Sesungguhnya budaya dan tradisi suku kaum itu sangat penting dalam usaha kita menyatupadukan rakyat ke arah hidup yang lebih bermakna dan progresif".

"Justeru menerusi Pesta Kaamatan ini, marilah kita memanfaatkan sepenuhnya kekuatan tradisi bangsa dari semua suku kaum, agar tali persaudaraan dan perpaduan yang sedia wujud dapat terus dipelihara dan diperkukuhkan demi masa hadapan", tambahnya.

Hajiji berharap perayaan yang mengangkat budaya bangsa dan adat resam itu akan terus dipertahankan, dipelihara dan dijaga agar tidak luput ditelan zaman.

Katanya menerusi Pesta Kaamatan, ia mampu membentuk identiti generasi Kadazan Dusun Murut dan Rungus yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi dengan nilai-nilai patriotisma, prihatin, toleransi dan saling hormat-menghormati di antara rakyat berbilang kaum.

"Semuanya adalah ramuan bagi melahirkan anggota masyarakat yang bermaruah dan berjiwa besar", tegasnya.