Ucapan Perbahasan RUU Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 2023
Jannie Lasimbang, ADUN N25 Kapayan
Penggal Keenam DUN Sabah, 25 Mei 2023 (Khamis)
Terima kasih Datuk Speaker atas peluang ini bagi membahas RUU Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) 2023
Pindaan ini melibatkan hutan simpan termasuk 51,265 hektar di Pensiangan; 284 ha untuk kikang klinkler dan simen bersepadu dan perlombongan; 167ha untuk tujuan kampung; 18,987 ha untuk tujuan pemuliharaan, termasuk 17710 ha kelas II hutan di Sipitang sebagai Kawasan Dilindungi Sepenuhnya or Totally Protected Areas.
Memandangkan ini melibatkan penukaran hutan simpan kepada Kelas I dan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya, saya perlu berhati-hati kerana masih terdapat banyak kampung di dalam hutan simpan ini.
Saya tidak sempat mendapat maklumat sama ada terdapat perkampungan di hutan simpan di Sipitang yang akan ditetapkan sebagai TPA.
Tapi khususnya untuk Hutan Simpan Sg Tagul di Pensiangan, terdapat 22 kg iaitu Kg Labu, Kg Saliliran, Kg Sibulu, Kg Sinapar, Kg Binusu, Kg Bantangan, Kg Mangkayun, Kg Karampalang, Kg Saliku, Kg Dabolon, Kg Simobong, Kg Sampahan, Kg Salarom, Kg Sanali, Kg Sibungo, Kg Pohon Batu, Kg Pangaran, Kg Sumbiling, Kg Kuala Sibangali, Kg Babayasing, Kg Loropon, dan Kg Siatu masih dalam Hutan Simpan tersebut.
Adakah penduduk kampung yang masih berada di dalam Kelas I dan Kawasan Terlindung Sepenuhnya ini akan diusir? Cadangan saya, kerajaan mengambil opsyen mengeluarkan kampung-kampung yang terlibat.
Terdapat juga kampung-kampung tang berhampiran Hutan Simpan Sg Tagul, antaranya kg Kasumunsung, Kg Barannun, Kg Nangkawangan dan 108 kampung yang lain yang masyarakatnya sangat bergantung kepada hutan untuk kehidupan mereka – baik untuk kegunaan individu atau masyarakat, dan juga pada perdagangan adat hasil hutan, yang merupakan satu-satunya sumber pendapatan mereka.
Walaupun kita patut memuji perlindungan kawasan hutan penting ini, kebanyakan kampung ini sangat terpencil dan masih belum diberikan air terawat daripada kerajaan, dan mereka sangat bergantung kepada bekalan air dari kawasan tadahan yang akan ditukar kepada hutan lindung Kelas I.
Adakah terdapat pertimbangan khusus untuk kampung-kampung ini diberi akses mendapatkan bekalan air mereka kerana akses dan aktiviti manusia seperti meletakkan paip graviti dari kawasan tadahan di hutan Kelas I dihadkan?
Saya difahamkan bahawa kampung-kampung ini menuntut hak asasi/NCR ke atas tanah berdasarkan Ordinan Tanah Sabah. Adakah ini juga bermakna tuntutan NCR mereka akan dimansuhkan secara automatik dengan keputusan kita meluluskan pindaan dalam sidang DUN ini?
Saya masih ingat satu kes mahkamah melibatkan Kg Imahit, Kemabong di mana hansard DUN untuk mewujudkan Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan pada tahun 1984, undang-undang yang sama yang kita pinda sekarang, telah digunakan oleh hakim-hakim mahkamah untuk menghapuskan hak orang asal terhadap tuntutan tanah adat yang mereka warisi dari nenek moyang mereka. Keputusan itu menyentuh hati saya hingga ke hari ini, dan pasti mempunyai implikasi kepada keputusan mahkamah akan datang.
Sebagai wakil rakyat yang tidak berada di Pensiangan, Sipitang atau Sungai Mandun untuk mengetahui keadaan sebenar, kami hanya boleh meletakkan kepercayaan kepada Forest Conservator dan Jabatan Perhutanan bahawa mereka telah melakukan usaha wajar dan tinjauan di lapangan semasa menyediakan RUU ini.
Saya juga ingin mendapatkan penjelasan sama ada hutan perlindungan ini akan digunakan pada masa hadapan untuk perdagangan karbon, dan jika ya adakah masyarakat juga akan mendapat manfaat daripada usaha tersebut.
Saya juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas DUN dibentuk untuk memantau pelaburan berkaitan dengan kawasan hutan simpan yang begitu luas ini.
Kita tidak mahu mengulangi projek Geoterma yang bukan sahaja berakhir dengan kegagalan tetapi juga menyebabkan kesan negatif yang ketara kepada alam sekitar selepas projek itu terbengkalai, dan di mana tujuan projek hanya peluang untuk membalak.
Sekian terima kasih, Datuk Speaker. Saya mohon mencadang.