KOTA KINABALU- Dua orang lelaki yang disyaki cuba mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi berjaya diberkas oleh pasukan Polis Bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Kedua-dua orang awam itu ditahan berdekatan dengan Condominium Bay 21, Jalan Tanjung Lipat pada 11 April, 2023 lebih kurang jam 4.00 pagi.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Idris Mohd Noor berkata suspek telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Menurut beliau, susulan kejadian kecurian kabel milik SESB yang berleluasa sejak kebelakangan ini, Polis Bantuan SESB telah melancarkan operasi khas iaitu Operasi Kabel Elektrik.
“Intipan dan rondaan dilakukan oleh pasukan Polis Bantuan SESB di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sering berlaku kejadian kecurian kabel milik SESB,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Seramai 20 anggota Polis Bantuan SESB yan diketuai oleh Pengurus Kanan Jabatan Keselamatan & Risikan, Tuan Aszman bin Jaiman terlibat di dalam operasi tersebut.
Idris juga turut mendedahkan pihaknya turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel elektrik.
Sehubungan dengan itu, orang ramai boleh menghubungi SESB Careline melalui 15454, 088-515000, Whatsapp 019- 852 5427 untuk sebarang aduan mengenai kegiatan yang mencurigakan dipepasangan milik SESB.