TENOM: Seramai 54 graduan Pusat Latihan Belia KPD-OISCA telah menerima sijil masing-masing setelah menjalani latihan selama 16 bulan yang bakal menjadi usahawan pertanian ataupun pekerja mahir dalam industri pertanian.
“Sebahagian daripada mereka telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke Pusat OISCA International di Jepun, dan juga boleh menjadi tenaga pengajar bukan sahaja di sini tetapi juga di Jepun.”
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata demikian kepada wartawan di Majlis Konvokeysen Pusat Latihan Belia KPD-OISCA, Lagud Seberang, Tenom, hari ini.
Terlebih dahulu, Kitingan berkata dalam ucapannya, 54 graduan tersebut adalah penerima sijil tahap 3 menurut kursus masing-masing iaitu sijil yang mendapat pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.
Katanya, “Perjalanan untuk menimba ilmu tidaklah berakhir di sini setelah anda graduate. Pembelajaran dan menimba ilmu adalah satu proses berterusan. Ilmu akan menjadi bekalan hidup bagi para graduan untuk membina kecemerlangan kerjaya dan menabur bakti kepada keluarga, bangsa dan negara, khasnya negeri kita Sabah yang tercinta.
Para graduan telah mengikuti Program Pengendalian Tanaman Cendawan, Program Pemprosesan Makanan, Program Penyeliaan Operasi Pengeluaran Padi, Program Operasi Ladang Poltri dan Program Operasi Pengeluaran Tanaman.
Jelasnya, “Program latihan kemahiran yang dilaksanakan di Pusat Latihan Beli KPD-OISCA Tenom telah menggunapakai kurikulum National Occupation Skill Standard (NOSS) di bawah Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
“Kurikulum NOSS yang merangkumi 20% teori dan 80% praktikal mendedahkan para perantis kepada aktiviti sebenar di ladang.
Keperluan tenaga mahir dalam bidang pertanian masa kini dilihat sangat penting di mana isu keterjaminan makanan adalah antara isu utama Negeri Sabah dan Malaysia secara amnya.
Katanya, “Sepertimana yang kita tahu, tahap kecukupan makanan atau SSL padi masih di tahap rendah dan perlu ditingkatkan daripada tahap yang sekarang 22-23% kepada 60% pada tahun 2030. Begitu juga tahap pengeluaran makanan daging.”
Pusat Latihan Belia KPD-OISCA melahirkan lebih ramai usahawan tani generasi muda untuk menjadi pekerja mahir dalam industri pertanian negeri untuk membantu kerajaan untuk membangun ekonomi negeri.
Jelasnya, “Kalau dulu pertanian dilihat sebagai bidang kerja yang kasar, tetapi kini pertanian menjadi asas ekonomi yang mampan, yang sebenarnya boleh menjadi satu asas untuk kita keluar daripada kemiskinan dan menjadikan pertanian sebagai asas perniagaan lumayan.
Selaras dengan persefahaman (MOU), Pusat Latihan akan menghantar beberapa pelajar cemerlang ke Negara Jepun atas tajaan OISCA International Japan untuk latihan lanjutan bagi tempoh 1 hingga 3 tahun.
Katanya, “Pada 28 Februari 2023 yang lepas, seramai tiga (3) bekas perantis pusat ini telah bertolak ke negara Jepun dan dua(2) orang lagi akan menyusul pada bulan Mac ini menjadikan jumlah yang sudah berada di Negara Jepun pada masa ini seramai 15 orang.
Menurutnya setakat ini terdapat tiga (3) orang bekas pelatih kini menjadi tenaga pengajar di Pusat-pusat Latihan OISCA Jepun.
Jelasnya, “Kita tahu teknologi pertanian di Negara Jepun sangat maju dan saya harap peluang ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membina ilmu negara tersebut dan membawa balik ke Sabah untuk faedah bersama.
Kitingan akhiri dengan berkata, “Kalau ada tanah di kampung, usahakanlah supaya mendatangkan faedah. Jika perlu bantuan pemasaran, bolehlah berhubung dengan KPD untuk memasarkan hasil pertanian ke Pusat-pusat Pengumpulan Hasil Tani yang dilaksanakan oleh KPD di kawasan masing-masing.
“Kita juga akan memikirkan tentang pemprosesan. Begitu juga dalam pusat OISCA di masa akan datang, bukan sahaja belajar bertani dan dapatkan kemahiran di bidang pertanian tetapi juga pemprosesan hiliran (downstream processing), untuk masa depan kita.”
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah KPD, Yang Berhormat Jannie Lasimbang; Pengurus Besar KPD, Jamilah Lee; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Sabah dan Labuan, Mohd. Azmi Pelah; Pengurus Wilayah Pedalaman merangkap Pengurus Pusat Bertauliah (SLDN), Nurul Hanizah Hamid Abdullah; dan Second Secretary and Consular Office of Japan, Eguchi Takayoshi.